Hati Hati bila nak beli Rumah Idaman pada harga Murah




KUALA LUMPUR – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menasihati golongan pembeli supaya berhati-hati semasa mahu membeli rumah mampu milik yang ditawarkan oleh pemaju swasta.

Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, Datuk Dr. Mohd. Padzil Hashim berkata, nasihat itu dikeluarkan kerana terdapat pemaju swasta didapati melanggar garis panduan yang ditetapkan dibawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118).

“Terdapat pemaju swasta menjalankan promosi penjualan rumah mampu milik secara besar-besaran termasuk menjemput artis tempatan sebagai “promoters”.

Rumah mampu milik yang ditawarkan kononnya melibatkan konsep Islam dan para pembeli akan mendapat wang hadiah tunai sebanyak RM500 sebulan selama 36 bulan atau sehingga kunci rumah diserahkan kepada pembeli selepas perjanjian ditandatangani.

“Pembeli yang berminat untuk memiliki rumah yang ditawarkan oleh pemaju tersebut bagaimanapun perlu mendapat pinjaman peribadi terdahulu dan seterusnya membayar sepenuhnya kepada peguam yang dilantik oleh pemaju berkenaan.

Kami ingin menjelaskan bahawa tatacara penjualan perumahan sedemikian tidak mengikut garis panduan sebagaimana termaktub dalam Akta 118 dan hak pembeli rumah melalui skim seperti itu tidak dilindungi di bawah Akta 118,” katanya melalui satu kenyataan media.

Justeru Mohd. Padzil menasihatkan orang ramai supaya meneliti kesahihan tawaran skim rumah mampu milik yang ditawarkan oleh pemaju perumahan sebelum membuat pembelian rumah.

Beliau dalam pada itu memaklukan pihaknya memperolehi maklumat bahawa terdapat pihak pemaju dan koperasi menjalankan projek perumahan tanpa memiliki lesen serta permit iklan dan jualan yang dikeluarkan di bawah Akta 118.

Menurutnya, satu mesyuarat telah diadakan dengan pihak berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan pihak bekuasa tempatan (PBT) pada 26 Ogos lalu bagi membincangkan tindakan ke atas pemaju dan koperasi terbabit.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai menyalurkan maklumat kepada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Perumahan Negara jika menemui sebarang tawaran skim perumahan yang meragukan.

“Bakal pembeli rumah juga boleh menyemak maklumat pemaju dengan melayari laman web http://ehome.kpkt.gov.my/ atau menghubungi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Perumahan Negara ditalian 03-8000 8000,” katanya.

http://www.kpkt.gov.my/media_akhbar/SM_Peringatan.pdf